Pengalaman buat lasik ni mungkin sekali seumur hidup yang boleh dianggap satu pelaburan besar. Pakcu nak share sikit pengalaman buat lasik sebab setiap orang mungkin ada cerita berbeza.
Pakcu bukanlah rabun dari kecik. Mula pakai spek mata pun waktu power dah cecah 100 iaitu pada umur 22 tahun. Tu pun jarang-jarang pakai. Ada masa pakcu akan pakai contact lense juga seperti dalam post pakcu sebelum ni.
Kenapa buat lasik?
Bila power dah makin naik, rasa makin tak selesa sebab kena sentiasa pakai spek mata atau contact lense. Nak buat aktiviti pun jadi terbatas terutama kalau buat outdoor aktiviti contohnya berenang, snorkelling, jogging.
Power mata pakcu ni takde lah tinggi macam orang lain. Sebelah kanan 275 dan kiri 225. Tu pun dah cukup mengganggu aktiviti harian sebab kena pakai spek mata atau contact lense.
Kalau difikirkan semula, buat lasik ni boleh jimat untuk jangka panjang. Tak perlu nak tukar spek mata atau beli contact lense.
Sebelum buat lasik pun pakcu banyak baca pengalaman orang lain. Memang setiap orang akan ada cerita masing-masing. Pakcu buat lasik di KPJ Centre for Sight. Consultation dan follow-up di branch Petaling Jaya tapi surgery di KPJ Kuala Lumpur iaitu bangunan yang sama dengan KPJ Tawakal sebab di Petaling Jaya tiada facilities untuk Femto-lasik.
Lasik ni untuk masalah rabun jauh. Bila dah makin tua biasanya akan ada masalah rabun dekat disebabkan faktor penuaan. Memang kena pakai juga spek mata nanti.
Jenis-Jenis Lasik
Lasik ni ada beberapa jenis. Setiap jenis tu sudah pasti guna kaedah berbeza dan harga pun berbeza. Ini jenis lasik yang ada di KPJ.
- Relex Smile
- Femto Lasik
- Advanced Surface Ablation (ASA)
- Microkeratome Lasik
Pakcu pilih femto lasik sebab harga yang mampu milik serta recovery process yang tak lama. Harga yang pakcu dapat ialah RM6888 termasuk ubat dan follow up.
Sebenarnya KPJ ada buat promosi sempena 8.8. Relex Smile antara promosi yang paling murah di pasaran iaitu RM8888. Tapi apakan daya, pakcu tak cukup bajet.
Setiap jenis lasik akan berbeza harga dan bergantung pada promosi.
Pengalaman Buat Lasik
Pakcu share pengalaman buat lasik di KPJ untuk rujukan.
Prosedur Sebelum Lasik
Perkara paling penting sebelum buat lasik ialah kena buat eye assessment. Sebab dari assessment tu baru tau kita layak atau tak untuk buat lasik. Bukan semua orang sesuai buat lasik.
Untuk buat eye assessment pun ada pantang larang. Tak boleh pakai contact lense sekurang-kurangya seminggu sebelum buat assessment.
Ada banyak assessment yang dibuat seperti check power, silau, ketebalan kornea dan lain-lain. Ketebalan kornea sangat penting. Kalau tak silap, tak boleh kurang dari 450 microns.
Macam pakcu pun dikira boarder line sebab dalam range 500 microns. Selepas lasik, kornea akan jadi makin nipis sebab tu ketebelan kornea ni penting untuk buat lasik. Tapi doktor dah sahkan pakcu sesuai untuk semua jenis lasik.
Assessment ni ambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Digalakkan jangan memandu sendiri sebab lepas assessment, penglihatan jadi tak stabil kesan dari eyedrop waktu buat assessment tu. Ambil masa 4-6 jam untuk penglihatan kembali jelas.
Prosedur Semasa Hari Pembedahan
Harus diingat bahawa lasik pun dianggap sebagai pembedahan. Ini perkara yang pakcu lalui sewaktu hari pembedahan di KPJ.
- Antara syarat KPJ di musim Covid-19 ialah kena buat PCR test dalam tempoh 3 hari sebelum pembedahan. Yang ni tak termasuk dalam pakej. Boleh buat di mana-mana klinik.
- Sebelum pembedahan, kena buat lagi sekali eye assessment iaitu beberapa jam sebelum pembedahan. Pembedahan pakcu pada jam 3.30pm tapi pukul 2pm dah kena standby untuk assessment.
- Kena buat bayaran penuh terlebih dahulu. Kalau di KPJ boleh bayar guna cash atau pun kredit kad dengan 0% installment.
- Bila dah siap assesment, ada sesi consultation dengan doktor dan perlu sign dokumen. Waktu consultation, doktor kata kornea pakcu dah makin nipis iaitu bawah 500 microns. Tapi masih ada harapan nak buat femto-lasik.
- Dibawa ke wad menunggu dan perlu pakai surgical gown.
- Bila dah tiba giliran, masuk ke Operation Theater. Giliran pakcu jam 4.30pm.
- Sebelum tu, doktor akan buat marking di mata dan letakkan ubat bius supaya tak rasa sakit. Kemudian akan baring atas katil untuk mulakan pembedahan.
- Ada 2 station iaitu yang pertama untuk buka flap. Waktu ni pandangan jadi gelap sekejap macam buta.
- Selepas tu baru pergi ke station kedua untuk laser. Memang seram la juga bila tengok cahaya laser tu. Macam dalam filem sci-fi. Siap ada bau hangit sikit. Proses siap lebih kurang 20-25 minit. Kalau relex-smile lagi cepat sebab takde buka flap. 100% guna laser.
Sepanjang pembedahan tak rasa sakit. Cuma pakcu rasa sangat tak selesa pada mata kiri. Lepas selesai pembedahan, doktor check keadaan mata. Doktor kata mata kiri ada luka lembut. Pakcu pun tak faham apa maksudnya.
Doktor pakaikan bandage lense mata kiri. Sepatutnya kalau femto lasik tak perlu pakai lense.
Selepas Pembedahan
Lepas pembedahan, mata akan jadi merah dan pedih. Pandangan pun masih kabur. Pakcu rehat sebentar kat wad tu lebih kurang 5 minit untuk bagi stabil sikit. Memang kena ada driver untuk balik ke rumah. Spek hitam memang wajib ada sebab mata akan sensitif pada cahaya.
Dalam perjalanan balik tu dah mula terasa pedih rasa macam ada cili masuk dalam mata. Rasa macam dah tak boleh nak buka mata. Pandangan masih kabur tapi boleh nampak lagi skrin smartphone tu.
Seeloknya kena tidur beberapa jam tapi pakcu tak boleh nak lelapkan mata. Sekadar tidur-tidur ayam. Malam tu dah start makan ubat. Ada 3 jenis ubat iaitu:
- Artelac Splash (hydrating dry eyes) – Guna 1 titik setiap 2 jam
- Vigamox (antibiotic) – Guna 1 titik, 4 kali sehari selama 5 hari
- Pred Forte (inflammation) – Guna 1 titik, 4 kali sehari selama 10 hari
Waktu tidur kena pakai eyeshield sekurang-kurangya 1 minggu untuk elakkan tangan tersentuh mata. Dalam tempoh ni, mata adalah kawasan larangan. Tak boleh sentuh, tak boleh masuk habuk, tak boleh kena cahaya matahari dan tak boleh pandang skrin terlalu lama.
Esoknya bila bangun pagi, mata kanan boleh nampak jelas. Rasa bersyukur sangat sebab dapat semula nikmat penglihatan yang hilang sekian lama. Cuma ada masa bila tengok tulisan nampak macam double. Mata kiri masih lagi kabur.
Disebabkan mata sebelah kiri pakcu ada pasang bandage lense, memang rasa tak selesa. Seolah macam ada pasir masuk dalam mata. Tak sama macam pakai contact lense yang biasa. Seksa juga nak habiskan masa seminggu ni.
Dapat MC untuk seminggu. Pakcu yang buat femto lasik ni pun rasa seksa apatah lagi kalau buat ASA Lasik. Sebab ASA memang kena pakai bandage lense dan tempoh recovery agak lama.
Untuk aktiviti lasak memang kena pantang lebih kurang sebulan contohnya berenang, sukan yang ada sentuhan, aktiviti yang terlalu banyak berpeluh dan lain-lain.
Follow-Up
Dalam pakej yang pakcu ambil memang termasuk sekali dengan follow-up. Ada beberapa kali follow-up selepas pembedahan.
Seminggu selepas pembedahan
Tak banyak prosedur pun iaitu cuma check tahap penglihatan. Mata kanan pakcu dah boleh nampak jelas iaitu 20/20 vision. Sebelah kiri agak kaburdan tak dapat pun 20/20.
Kemudian baru jumpa doktor. Bandage lense sebelah kiri pakcu dah boleh cabut. Ingatkan dah cabut tu boleh nampak jelas tapi masih kabur lagi. Cuma bila dah cabut rasa selesa sikit.
Sebulan
Follow-up sebulan ni bukan dikira dari hari pmebedahan tu tapi dikira dari tarikh follow-up seminggu selepas pembedahan. Bermaksud lebih kurang hari 37.
Untuk follow-up kali ni, mula-mula check vision. Mata sebelah kiri pakcu macam dah ada improvement sikit walaupun masih kabur.
Kemudian check power mata. Optometrist tu buat reaksi pelik sebab mata kiri pakcu masih kabur lagi. Lepas tu pakcu kena buat lagi satu prosedur untuk kenalpasti kalau ada masalah lain. Tapi optometrist kata semuanya normal. Pakcu pun runsing kenapa masih kabur lagi.
Akhir sekali baru consultation dengan doktor. Macam biasa, doktor akan check keadaan mata tu.
Pakcu kata mata masih dryness, silau dan mata kiri masih kabur. Doktor cuma respon akan ambil masa untuk pulih sepenuhnya dan suruh teruskan guna eye drop setiap 4jam. Aktiviti lasak pun dah boleh buat macam biasa.
Follow-up yang seterusnya lagi 3 bulan iaitu pada 29/1/22.
Status Setakat Ini
Setakat hari yang pakcu update blog ni, mata kiri pakcu masih lagi kabur. Tu yang merisaukan pakcu sebab kebanyakan feedback dari orang lain boleh nampak jelas dalam tempoh sebulan. Masalah dryness pulak bila driving pada cuaca panas memang terpaksa guna eyedrop dan sunglass.
Pakcu akan update lagi untuk sesi follow-up akan datang.
Maklumat selanjutnya boleh rujuk di:
Facebook : https://www.facebook.com/KPJCFS/
Laman web rasmi : https://kpjhealth.com.my/cfs/
Leave a Reply