Pulau Perhentian Besar ni memang jadi destinasi pilihan pakcu sebaik sahaja sektor pelancongan domestik dibuka sepenuhnya selepas pandemik. Sebelum ni pakcu dah pergi ke Pulau Perhentian Kecil.
Disebabkan lepas raya ada lagi long weekend iaitu cuti umum Hari Wesak, pakcu pun plan nak ke Pulau Perhentian. Kawan pakcu yang survey penginapan kat sana. Bila public holiday, memang kena booking sebab biasanya bilik selalu penuh. Nasib memang baik sebab dapat juga bilik walaupun booking 3 hari sebelum bertolak ke pulau.
Itinerari Pulau Perhentian Besar 2H1M
Itinerari ringkas pakcu untuk trip 2H1M.
Jumaat
10.30pm – Bertolak naik bas dari TBS ke Kuala Besut
Sabtu
6am – Tiba di Terminal Kuala Besut (Singgah ke rumah kawan pakcu dulu sebelum ke jeti)
9.30am – Bertolak dari jeti Kuala Besut naik speedboat (Kena bayaran caj Taman Laut RM5 dan Majlis daerah Besut RM5. Jumlah RM10)
10.10am – Tiba di Pulau Perhentian Besar dan buat aktiviti bebas sementara tunggu waktu check-in.
1pm- Check in
2.30pm- Snorkelling trip
6pm- Snorkelling tamat & aktiviti bebas
9pm- Dinner
Ahad
8.30am- Sarapan & terus mandi-manda di pantai
12pm- Check-out dan bertolak balik ke Kuala Besut
2pm- Jalan-jalan sekitar Besut & Bukit Bubus (aktiviti tambahan)
9pm- Bertolak balik ke TBS
Kos untuk seorang:
Bas = RM93
Bilik & snorkeling trip dan boat transfer = RM195
Caj taman laut & Majlis Daerah =RM10
Makan minum =RM50
JUMLAH = RM348
Hari Pertama di Pulau Perhentian Besar
Bila sampai di Terminal Bas Kuala besut, boleh jalan kaki sahaja untuk ke jeti. Trip kali ni, pakcu singgah dulu ke rumah kawan yang tak jauh dari Kuala Besut.
Lepas sarapan, terus bertolak ke Jeti Kuala Besut. Sampai di Jeti kami selesaikan bayaran pakej di kaunter Transmarine. Dah siap bayar pakej, kena bayar caj taman laut dan caj majlis daerah Besut.
Speedboat bertolak jam 9.30am. Kami naik speedboat kecil je sebab speedboat yang besar tu dah bertolak awal ke pulau. Sampai di pulau lebih kurang 10.10am. Speedboat akan berhenti kat chalet mana kita menginap. Kena maklum kepada boatman kemana destinasi nak dituju.
Bila dah sampai di pulau, kami terus pergi ke chalet yag dah ditempah iaitu Bee Chalet. Tak jauh pun dengan pantai. Cuma chalet ni tak nampak la view pantai tu sebab dah terlindung dengan resort lain.
Disebabkan bilik pun belum siap kemas dan belum waktu check-in, kami terus buat aktiviti bebas bersantai kat pantai. Nasib memang baik sebab cuaca panas terik. Kami dapat check-in jam 1pm.
Snorkelling trip
Aktiviti snorkelling bermula jam 2.30pm.
Kampung Nelayan
Kampung ni tak jauh pun dengan Pulau Perhentian Besar. Tak sampai 5 minit pun. Kat sini kami turun untuk beli barang-barang sikit sebab Kampung Nelayan paling murah berbanding tempat lain.
Jeti kat sini memang penuh sesak dengan pengunjung. Sempat juga la bersantai kat jeti sambil tengok ikan-ikan yang memang banyak kat sini.
Turtle Point
Waktu kat sini ada la jumpa sekor penyu tapi jauh sangat ke dasar laut. Air laut kat sini pun macam ada arus sikit. Letih juga la nak melayan arus ni. Tahun 2019 dulu waktu pakcu ke sini nampak jelas juga la penyu tu. Kali ni nampak sayup sangat.
Shark Point
Shark kat sini paling susah nak munculkan diri. Dah 2 kali datang sini pun masih tak dapat jumpa lagi shark ni. Kat sini pun arus kuat juga sama macam waktu datang tahun 2019.
Coral Point
Kat sini memang tak mengecewakan sebab banyak ikan dan coral pun cantik. Cuma kena hati-hati sikit bila mandi kat sini sebab ada tempat yang coral tu dekat sangat. Kalau terkena kaki takut rosak pulak coral tu. Kalau korang nak snorkelling kat Pulau Perhentian, pastikan tempat ni ada dalam list.
Lata Air Berani
Ni lokasi terakhir untuk snorkelling trip. Bagus juga la jadi lokasi terakhir sebab kat sini boleh bilas badan dari air yang turun dari atas bukit tu. Lata ni dah dibuat kolam dari guni pasir. Air memang jernih dan sejuk.
Snorkelling trip tamat lebih kurang 6pm.
Suasana Petang & Malam Yang Tenang
Sebelum maghrib, sempat juga la bersantai kat pantai. Cuma Perhentian Besar ni agak terlindung dari sunset. Tak dapat la tengok pemandangan sunset.
Walaupun tak nampak sunset, pemandangan masih cantik. Suasana memang tenang takde bunyi bising pun.
Untuk makan malam, memang rezeki kami juga sebab ada yang sudi berkongsi rezeki barbeque. Terima kasih untuk pengunjung yang buat family trip di situ & owner Bee Chalet. Semoga dimurahkan rezeki.